Saya masih menangis



Lama rasanya saya tidak mencoret sesuatu. Mungkin kerana terlalu sibuk dengan imtihan yang tidak putus-putus. Apa-apa pun, semoga imtihan dunia tidak menjadikan alasan untuk kita bermalas-malasan meningkat ibadah dan menyebar dakwah. InsyaAllah.

Memasuki tahun baru 2012, pasti ramai yang memasang azam baru mereka. Ada juga yang semakin gerun melihat pertambahan umur mereka. Itu tahun baru Masihi. Tapi diikutkan tahun baru Hijri, sudah lama umur kita meningkat, sudah lama kita harus memasang azam , tajdid niat, bahkan tidak perlu ditunggu sehingga awal tahun.

Saya semakin gusar.

Apakah nilai ibadah-ibadah saya sebelum ini. Berkualiti atau tidak? 22 tahun Allah memberi saya kehidupan yang sangat sempurna. Punya ummi  yang sangat menitik beratkan nilai agama dalam setiap laku. Punya kehidupan yang sederhana, biar tidak mewah, tetapi kami bahagia.

Sepanjang kehidupan, banyak perkara yang saya belajar. Ujian yang datang bertalu-talu bagai menyuruh saya membina perisai kekuatan. Itulah manusia! Tak kan ‘meriah’ kehidupan kita andai tiada rencah ujian dariNYA.

Saya yakin,ujian yang Allah datangkan bukan untuk melemahkan kita. Tapi sebagai peringatan buat kita. Tanda sayang Allah kepada kita. Dia mahu kita lebih tabah,lebih kuat.

Maksud firman Allah : 
 [Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta?] 
(Al-Ankabut : 2-3)

Ujian kita berbeza-beza. Ada yang diuji dengan kehilangan harta benda. Ada yang diuji dengan kehilangan ahli keluarga tersayang. Ada yang diuji dengan sakit dan bermacam jenis ujian lagi.



Yakinlah! Hebatnya orang yang diuji, kerana Allah masih memerhatikannya. Allah masih mempedulikannya. Beruntunglah orang yang diuji, dia bersabar. Dia mampu melihat ujian dengan ketabahan. Dia mampu membahagiakan orang di sekelilingnya walaupun berat ujian yang ditanggung.

Cuba kita renung,waktu ketika diri kita diuji. Hati kita sangat mudah dan dekat dengan Allah bukan? Rasa amal ibadah sentiasa dan mahu dipertingkatkan. Rasa khusyuk pada setiap amal. Sangat mudah mengalirkan air mata saat mengadu padaNya. Ya Allah, manisnya ketika waktu kita diuji. Betapa Allah campakkan rasa ‘hub’ padaNya. Campakkan rasa rindu padaNya. Maka, bersyukurlah kita kerana diuji. Jangan pernah merasa keluh,kesal bila ujian menimpa. Jangan pernah merasa dunia sempit dengan ujian yang kecil. Tapi rasailah besarnya dunia dengan kita mampu memenuhi seluruh dunia dengan kebaikan.


Dulu saya pernah menangis kerana ujian Allah yang sentiasa menjengah. Saya keluh. ‘Kenapa perlu aku yang diuji? Kenapa bukan orang lain?’. Bermacam-macam persoalan saya timbulkan. Tapi, sekarang saya juga masih menangis. Tapi kerana Allah masih mempedulikan saya. Masih mahu menguji saya. Kerana Dia masih sayangkan saya. Menangis bukan kerana keluh. Tapi menangis kerana terharu.

Ya..Saya masih menangis..
Kerana Dia masih sudi memerhatikan saya.....الله اكبر


p/s: saya menulis untuk memberi peringatan kepada diri sendiri. Doakan sahaja saya boleh melepasi ujian Allah ini dengan sepenuh kejayaan duniawi & ukhrawi. :)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Tidak ada anugerah yang lebih baik selain peroleh sifat sabar." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

up